Friday, 30 November 2007

Matematik dan Sains dalam BI: Pihak mana berkeras?

Dipetik dari harakahdaily.net


Selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih teraju pemerintahan Negara pada akhir Oktober 2003 sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Dr. Mahathir, kita menjangkakan beliau memulai pentadbirannya dengan beberapa kejutan yang melonjakkan namanya dan penghormatan rakyat terhadapnya. Salah satu kejutan yang diharapkan ialah penarikan balik pengajaran Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di sekolah rendah juga bahasa ibunda bagi sekolah Cina dan Tamil, tetapi sayang tidak dilakukan!

Sesungguhnya sejak Dr. Mahathir melalui kabinetnya mengambil keputusan mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains pada pertengahan 2002 lahir penentangan-penentangan baik dari pendukung kerajaan yang diperintah oleh BN, maupun dari pembangkang terhadap keputusan tersebut. Sidang parlimen yang berlangsung pada Jun 2002 misalnya dihangatkan oleh penentangan terhadap keputusan yang dibuat kabinet. Pejuang-pejuang bahasa dari kalangan Umno merasa amat tidak berpuasa hati, tetapi terpaksa memendam rasa. Ahli-ahli parlimen dari Pas seperti Datuk Dr. Hassan Ali (Pas Parit Buntar), Sdr. Mahfuz Omar ( Pas Pokok Sena), Dr. Syed Azman Syed Ahmad (Pas Kuala Terengganu) merupakan antara yang membantah penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains.

Isu ini menjadi isu utama bagi Pas di dalam pilihan raya kecil bagi Parlimen Pendang dan Anak Bukit berikutan kematian Ustaz Datuk Fadzil Noor Presiden Pas pada 24 Jun 2002. Oleh kerana perubahan dilakukan secara mengejut tanpa kajian dan perancangan, maka kekacauan dan kekeliruan berlaku. Misalnya Timbalan Menteri Pendidikan pada masa itu Datuk Abdul Aziz Shamsuddin mengumumkan pada (27 Jun 2002) bahawa peperiksaan mata pelajaran Matematik dan Sains pada peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM mulai tahun 2003 dikehendaki dijawab di dalam bahasa Inggeris. Pengumuman yang dianggap dengkal, mengejut dan menjadikan orang ramai, khususnya ibu bapa dan mereka yang terlibat dengan pendidikan dan peperiksaan berkenaan ribut dan menjadi tumpuan bantahan, Timbalan Menteri berkenaan terpaksa pula membuat keputusan mengejut lagi, tanpa perancangan dan mengelirukan (28 Jun 2002) bahawa soalan-soalan peperiksaan di dalam kesemua peringkat peperiksaan di atas akan disediakan di dalam dua bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi calon dikehendaki menjawab di dalam bahasa Inggeris!

Arahan yang dianggap tidak rasional dan bercanggah dengan kaedah normal pendidikan ini, kononnya bagi mengatasi kelemahan pelajar-pelajar, terutama di luar bandar di dalam penggunaan bahasa Inggeris. Tetapi pendekatan yang lebih rasional berikutan dari bantahan-bantahan diterima Kementerian Pendidikan mengumumkan pada 12 Julai 2002 bahawa semua peperiksaan pada semua peringkat akan terus menggunakan bahasa Melayu. Pembelajaran matapelajaran Matematik dan Sains bermula dari tahun satu 2003. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan itu menyebut.

"Ini bermakna penggunaan bahasa Inggeris di peringkat UPSR akan diadakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris pada tahun 2008, PMR (2005), dan SPM serta STPM (2004)." Kenyataan itu menambah, "pelajar dan ibu bapa tidak perlu khuatir mengenai perkara ini." (UM 13 Julai 2002: 1).

Menurut kenyataan di atas, sehingga tahun tersebut kertas-kertas soalan Matematik dan Sains akan disediakan di dalam dwi-bahasa. Tetapi dari segi praktiknya penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains hanya bermula pada tahun 2003 bagi tahun satu dan peperiksaan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya bagi dua matapelajaran tersebut bermula 2008 dan meningkat seterusnya dari tahun ke tahun.


Punca Mewajibkan Penggunaan Bahasa Inggeris

Adalah dikatakan punca awal yang membawa kepada keputusan mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains kerana Dr.Mahathir banyak berdepan dengan pegawai-pegawai tadbir dan diplomatiknya yang tidak cekap menggunakan bahasa Inggeris di dalam urusan-urusan yang memerlukan penggunaan bahasa tersebut terutama dalam hubungan dengan pegawai-pegawai dari luar Negara dan taklimat-taklimat kepada mereka. Dr. Mahathir membuat komen berhubung dengan kelemahan ini pada 6 Mei, 2002 dan berjanji untuk menghidupkan kembali 'English Medium Schools', jika masyarakat menghendakinya, tetapi tanpa membawa kepada perundingan empat hari selepas itu beliau telah mengumumkan bahawa matapelajaran Sains dan Matematik akan diajar di dalam bahasa Inggeris di semua sekolah mulai 2003 (The Sun, Nov. 19-20, 2005: 9).

Tindakan ini dianggap tidak tepat kerana ia melibatkan perubahan dasar pelajaran kebangsaan yang sewajar tidak diubah secara sewenang-wenang. Masalah pegawai yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris yang diperlukan di dalam kerjaya mereka hendaklah diatasi dengan kursus, latihan dan pendedahan dengan suasana kerja mereka. Sedangkan pemaksaan secara mengejut terhadap anak-anak menguasai bahasa Inggeris di dalam bidang yang bersifat teknikal dan di luar dari budaya mereka adalah satu beban dan pemaksaan terhadap mereka dan juga guru-guru. Penguasaan bahasa cara terbaik ialah melalui pengajian bahasa dan sastera. Pengajian dan penguasaan terhadap bahasa Inggeris tidak memerlukan masa berpuluh tahun. Cukup melalui kursus-kursus di dalam bidang berkenaan di dalam tempoh terhad. Tindakan kerajaan merubah secara drastik mendapat bantahan dari pejuang-pejuang bahasa, rasa tidak puas hati daripada ibu bapa dan resah dari kalangan guru sendiri. Ini menyebabkan Menteri Pendidikan pada masa itu, iaitu Tan Sri Musa Mohamad mau semua pihak menghentikan daripada membuat spekulasi mengenai pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Menurutnya:

"Laporan daripada pelbagai sumber yang tidak jelas, kurang tepat dan khusus itu boleh mengelirukan keadaan dan membimbangkan orang ramai," katanya, "Jawatankuasa yang diketuai Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat telah menyiapkan laporan mengenai cadangan itu dan akan mengemukakan beberapa saranan". Tan Seri Musa menambah, "Rakyat tidak perlu bimbang kerana pihaknya mengambil kira pandangan pelbagai pihak supaya tidak menganiaya pelajar." (BM, 14 Julai 2002: 4).

Kecelaruan dan kebimbangan tentang bagaimana perlaksanaan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris ini tiba pada kepastian apabila laporan cadangan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada 19 Julai 2002 dengan laporan media sebagaimana berikut:

"Kuala Lumpur. Fri, - Science and Mathematics will be taught in English in phases from next year in all national schools, Prime Minister Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad said tonight," kenyataan itu berkata, "However no decision was made on whether the move would include national-type Chinese and Tamil schools," Selanjutnya kenyataan itu menambah, "the cabinet`s decision that the two subjects be taught in English was to enable Malaysians to master Science and Matemathics, essential for the country in its quest to reach developed nation status." (NST, Saturday, July 20, 2002: 1).

Keputusan kabinet di atas bererti tidak meyakini bahasa Melayu mampu mendukung keilmuan seperti Matematik dan Sains walaupun terbukti setelah hampir 40 tahun bahasa tersebut digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti-universiti di negara ini termasuk bidang Matematik dan Sains menyerlahkan kejayaan. Kabinet juga berpendapat bahawa untuk mencapai tahap negara maju hendaklah menggunakan bahasa Inggeris. Pendapat ini mencanggahi realiti kemajuan dari Negara dan bangsa yang tidak menggunakan bahasa Inggeris, tetapi menggunakan bahasa nasionalnya sendiri seperti Jepun, Korea, Rusia, German dan lain-lain. Dapat juga ditambah tidak ada patriotisme dan kemegahan dari pihak pembuat keputusan terhadap bahasa Melayu. Berhubung dengan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains berikutnya turut dikehendaki melaksanakannya di sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (UM, Selasa 6 Ogos 2002: 11).


Apa yang Terjadi

Penukaran mengejut secara boldoza tanpa melalui sebarang kajian dan pilot projek mengakibatkan timbulnya problem-problem seperti ketiadaan guru berkelayakan mengajarkan Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris. Begitu juga tiadanya buku-buku teks di dalam bahasa Inggeris. Lantaran terpaksa diberi kursus ad-hoc kepada guru-guru Matematik dan Sains mengajar di dalam bahasa Inggeris, tetapi kursus-kursus sedemikian tidak dapat melahirkan guru yang dapat mengajar secara memuaskan di dalam bahasa Inggeris. Usaha membuat modul dan program pengajaran dan penyampaian dalam bahasa Inggeris melalui laptop terpaksa dilakukan. Peruntukan yang besar yang tidak pernah diumumkan terpaksa dikeluarkan. Sementara itu timbul rasa tidak puas hati dari kalangan guru-guru sendiri sehingga Najib Tun Razak terpaksa memberi amaran, bahawa guru-guru usah tanam bibit kebencian terhadap pemimpin-pemimpin (MM, Ahad 14 Julai 2002: 4), Bagi memujuk guru-guru yang tertekan dengan paksaan mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris maka mereka dipujuk seperti mengadakan insentif dengan elaun kritikal sebanyak 5%, elaun khas bagi guru-guru yang mengajar mata-mata pelajaran tersebut didesa dan kenaikan bagi yang berkelayakan dari DG 3 kepada DG 2.

Sementera itu ratusan juta kewangan dibelanjakan bagi buku-buku Matematik dan Sains yang telah diterbitkan di dalam bahasa Malaysia selama ini menjadi sia-sia dan beratus juta pula terpaksa dikeluarkan untuk menerbitkan buku-buku di dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua matapelajaran tersebut. Ini tidak termasuk kos bagi melatih guru-guru berkenaan di dalam bahasa Melayu sebelum dan bahasa Inggeris berikutnya. Selain dari itu kerjasama antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei di dalam bidang bahasa melalui Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) bagi menghasilkan istilah-istilah Sains termasuk Matematik menjadi sia-sia.

Paling dahsyat penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains, dalam masa jangka panjang akan melumpuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu. Kemampuan dan kejayaan yang telah ditunjukkan oleh bahasa berkenaan di dalam Matematik, Sains dan bidang-bidang keilmuan yang lain di universiti-universiti tempatan sejak 40 tahun yang lepas akan terbengkalai, sedangkan sejak pertukaran pengajaran dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris sejak 2003-2007 tidak menunjukkan kemajuan yang menggalakkan. Di dalam penilaian PMR 2006 kurang daripada satu perempat peratus yang menjawab soalan peperiksaan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, sedangkan bagi tahun sebelumnya yang menjawab melalui bahasa Inggeris adalah satu pertiga, berikutnya peningkatan yang menjawab melalui bahasa Melayu ialah 46.2%, manakala yang menjawab dalam kedua-dua bahasa (bercampur) ialah 29.7%. Bererti pelajar lebih selesa menjawab di dalam bahasa Melayu. Dengan menggunakan bahasa Inggeris di dalam matapelajaran Matematik dan Sains tidak pula meningkatkan kemampuan pelajar berbahasa Inggeris. Pada tahun 2005 pencapaian pelajar di dalam bahasa Inggeris ialah 73.8%, manakala bagi tahun 2006 menurun kepada 71.4% (The Star, Saturday 30 Dicember 2006: N8).


Bantahan Terhadap Penggunaan bahasa Inggeris Dalam Matematik dan Sains

Majoriti penduduk Negara ini menolak penggunaan bahasa Inggeris bagi Matematik dan Sains kerana dari kajian saintifik menunjukkan pembelajaran melalui bahasa ibunda lebih memberi kefahaman dan kesan pada pelajar. Ini adalah penemuan UNESCO yang membuat kajian yang dibiayai oleh Bank Dunia 1997 (The Sun, Nov. 19-20, 2005: 9)

Antara penolakan secara berorganisasi dari kalangan orang Melayu dan individu ialah.

  • Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kali ke 1V yang berlangsung di UPSI pada September 2002 yang menghantar perwakilan menemui Perdana Menteri dan menyarankan dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.
  • Kempen Dewan Bahasa dan Pustaka yang diketuai Datuk Rahim Bakar bagi mengumpul satu juta tandatangan membantah penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains.
  • Kongres Kepentingan Bahasa yang bersidang pada 16-17 Disember 2005 di Universiti Teknologi Malaysia dihadiri 1,200 perwakilan mewakili 100 pertubuhan NGO yang antaranya mendesak dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains di dalam bahasa Melayu.
  • Kongres Pendidikan Melayu ke 2 yang diadakan di Kuala Lumpur pada April 2006 yang dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang melahirkan kebimbangan setengah juta anak Melayu akan tercicir dan mendesak dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.
  • Perhimpunan Agung Umno kali ke-58 di PWTC Nov. 2007 baru-baru ini melalui usul dibentangkan oleh Wakil Badan Perhubungan Negeri Johor, Senator Mohd Fuad Zarkashi mendesak agar pengajaran Matematik dan Sains dikembalikan kepada bahasa Melayu dan mendapat sokongan perhimpunan.
  • Tokoh-tokoh yang lantang menentang penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains ialah seperti, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Professor Dr. Nik Safiah Karim, Tan Sri Ainuddin Wahid, Profesor Datuk A. Bakar Hamid, Profesor Zainal Abidin Wahid, Profesor Dr. Awang Sariyan, Prof. Dr. Nur Hashimah dan beberapa lagi.

Antara penolakan secara berorganisasi dari kalangan orang Cina ialah:

  • Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zhong)
  • Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
  • Kesatuan Guru-Guru Besar Sekolah Cina se Malaysia
  • Dewan Perhimpunan Cina Malaysia

Usul-usul Mesyuarat Perwakilan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Peringkat Kebangsaan di Malaysia ialah: Hendaklah dikekalkan pengajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah dalam bahasa ibunda dan hendaklah ditingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan menggunakan pendekatan yang efektif dan releven (MM, Ahad 4 Ogos 2002: 7).

Berikut dengan pendirian organisasi-organisai dan pertubuhan-pertubuhan Cina yang penting di Malaysia ini, maka MCA parti politik terbesar yang mewakili orang-orang Cina di Malaysia mengambil keputusan dan pendirian bahawa:
"Ahli Jawatankuasa Pusat MCA sebulat suara memutuskan untuk menentang cadangan Kerajaan menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di semua sekolah rendah jenis kebangsaan Cina bermula tahun depan." (Berita Minggu, Ahad 20 Oktober 2002: 1).

Oleh kerana orang-orang Cina bersatu menentang dan menggugat kemahuan pihak tertentu di kalangan pemerintah yang tetap maukan Matematik dan Sains diajarkan di dalam bahasa Inggeris, maka Perdana Menteri ketika melawat UPSI mengeluarkan amaran kepada kumpulan orang Cina yang membantah penggunaan bahasa Inggeris dan mereka diingatkan, "Jangan main api!", kerana pihak pemerintah akan menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan, jika isu dibangkitkan boleh menimbulkan huru hara di Negara ini (BM Ahad 11 Ogos 2002: 1).

Tentangan tidak saja secara terpisah, tetapi terdapat kerjasama antara kaum di dalam membantah misalnya pada 2 Julai 2002 bertempat di Kuala Lumpur sebanyak 20 buah persatuan Melayu-Cina mendesak kerajaan membatalkan penggunaan bahasa Inggeris bagi Matematik dan Sains. Begitu juga pihak Dong Jiao Zong di Kajang pada Sabtu 9 Disember 2005 dengan kerjasama NGO seperti GAMIS, Solidariti Mahasiswa Malaysia, Suaram Johor, Persatuan Dravidian Malaysia dan Malaysian Indian Youth Council dihadiri tiga ribu peserta mendesak agar membuat kajian kesan pengajaran Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris, juga mendesak agar bahasa ibunda digunakan di dalam pengajaran.


Siapa Berkeras Mau Gunakan bahasa Inggeris?

Jika rakyat dari Melayu, Cina dan India, NGO dan organisai-organisasi menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajarn Matematik dan Sains, maka siapa sebenarnya yang beria-ria mempertahan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains? Mereka ialah:

  • Dr. Mahathir Muhammad yang mencetuskan idea supaya menggunakan bahasa Inggeris di dalam pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains dan diluluskan oleh kabinet pada masanya. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hingga kini masih mengekalkan polisi ini dan belum bercadang menarik balik polisi ini.
  • Golongan koporat dan ahli perniagaan yang merasa selesa dengan cadangan dan mempertahankannya. Golongan koporat memang berlagak dengan gaya kelas tersendiri yang melambangkan kemewahan dan segala urusan dianggap tidak standard jika tidak menggunakan bahasa Inggeris.
  • Kalangan ahli politik dari pihak pemerintah yang enggan memberi respon terhadap desakan mengembalikan pengajaran bahasa Melayu bagi matapelajaran Matematik dan Sains.
Apa reaksi Datuk Seri Najib terhadap cadangan Kongres Pendidikan Melayu kali kedua sebagaimana dilaporkan:
"Najib dismissed speculation that the government would reverted to teaching Mathematics and Science in Bahasa Malaysia. It`s too early to decide because a policy cannot be changed hastily. Whatever decision we make will be based on a through study". (NST, Monday March 28, 2005: 2).

Menteri Pelajaran Malaysia Datuk Seri Hishammuddin dilaporkan berkata:

"We should not be shy to say English is a Malaysian language". (NST, Tuesday, August 16, 2005: 1). Beliau juga dilaporkan, "Pressure has been building on Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein to shift the policy on using English for Mathematics and Science subjects but he seems determined to stay on course". (Sunday Star, 25 November 2007: F34).

Pendirian yang sama berlaku pada masa Tan Sri Musa Mohamad menjadi Menteri Pelajaran dan Tan Sri Zahid menjadi Menteri Pelajaran, bahkan Tan Sri Zahid yang diamanahkan menyediakan laporan Pengajian Tinggi yang dikenali dengan laporan Zahid mencadangkan bahasa Inggeris hendaklah digunakan sepenuhnya dalam pengajaran di pengajian tinggi.

Pengamal media tempatan yang menggunakan bahasa Inggeris, kerana dengan penggunaan dan pengembangan bahasa Inggeris makin memperkukuhkan kedudukan mereka. Contoh gesaan dari the Sun agar ``Keep English for Science and Mathematics`` (The Sun, Tuesday November 20, 2007: 16).


Apa yang Dituntut

Matematik dan Sains hendaklah diajar dalam bahasa Melayu (ibunda). Namun semua yang menuntut baik dari institusi, kongres, persidangan, NGO dan orang perseorangan tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Peningkatan bahasa Inggeris hendaklah dilakukan menurut pendekatan yang releven dan sesuai di dalam pengajaran bahasa tersebut. Pengajian di dalam Matematik dan Sains bersifat teknikal dan tidak banyak membantu meningkatkan bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu berwibawa di dalam bidang keilmuan. Kejayaan penggunaannya terbukti di pengajian tinggi sejak hampir 40 tahun lepas. Penukaran pengajian Matematik dan Sains dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi akan memandulkan bahasa tersebut dan hanya menjadi bahasa kelas bawahan.

Malaysia semestinya mempunyai tradisi, nilai, budaya dan jati diri sendiri yang dimegahkan, termasuk mempunyai bahasa dan dasar pelajaran yang tersendiri, Malaysia tidak seharusnya bersifat duplikasi dan carbon copy kepada Negara tertentu. Kita perlu mempunyai jati diri dan identiti tersendiri dan mampu bersaing di dunia globalisasi.

Kesimpulan

Rakyat banyak dari berbagai kaum mau matapelajaran Matematik dan Sains kembali diajarkan di dalam bahasa Melayu. Tidak ada cacatnya penggunaan bahasa tersebut di dalam bidang keilmuan selama ini. Bahasa Melayu terbukti mampu menjadi bahasa ilmu.

Tetapi bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dan pendekatkan yang relevan perlu dibuat. Mereka yang berkeras mau menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik dan Sains sebenarnya dari kalangan orang dalam yang boleh disifatkan sebagai harapkan pagar, pagar makan pagi. Tekanan hendaklah terus dibuat agar mereka berubah sikap dan menerima kehendak rakyat dan jika mereka terus berdegil turunkan mereka dari tampuk pemerintahan melalui kuasa rakyat. Rakyat berhak mendaulatkan bahasanya sendiri sebagai bahasa ilmu yang menjadi jatidiri dan kemegahan mereka.


Oleh Dr. Shafie Abu Bakar
Bangi, 20 Zulkaedah 1428, 30 November 2007.

Friday | Nov 30, 07 | 4:39:35 pm (Malaysia Time)

No comments: