Wednesday, 23 January 2008

BN tolak pelaksanaan kebajikan terhadap rakyat

Dipetik dari harakahdaily.net

Cara Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Annuar Musa menyerang Negara Berkebajikan PAS menunjukkan BN menentang konsep menjadikan Malaysia lebih berkebajikan.

Dalam satu kenyataan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata cabaran Annuar supaya PAS menunjukkan teladan sebagai negeri berkebajikan telah lama bersambut. Namun Kerajaan Negeri Kelantan tidak harus sama sekali disamakan dengan Kerajaan Persekutuan.

"Membandingkan Kelantan sebagai Kerajaan Negeri berbanding Malaysia yang mempunyai kuasa Persekutuan seperti menerima cukai petroleum dan hasil cukai langsung dan tidak langsung yang lain, samalah membanding anak masih bersekolah dengan bapa yang kaya raya dengan harta pusaka di samping pendapatan sendiri," ujarnya.

Di samping itu, katanya kerajaan Persekutuan juga menerima faedah dari khazanah minyak negara yang tidak dimiliki oleh Kerajaan Negeri seperti Kelantan.


Kerajaan Kelantan laksana pelbagai bantuan pada rakyat

Menurutnya, kos hidup di Kelantan juga masih dikekalkan rendah di atas kejayaan pengurusan Kerajaan Negeri atau agensinya seperti tarif air misalnya.

"Tarif AKSB adalah yang keempat terendah di Malaysia iaitu 0.55 sen per meter padu. Bandingkan apa yang perlu di bayar penduduk Perak ( 73 sen ), Selangor ( 0.77 sen ), Johor ( 90 sen ) per meter padu domestik.

"Bagi kakitangan Kerajaan Negeri pula, mereka beryukur kerana mereka mendapat Skim Pinjaman Perumahan, Kenderaan dan Komputer tanpa dikenakan 'interest' atau faedah. Orang awam yang terdesak kewangannya juga merasai tempias nikmat Negeri Berkebajikan di mana Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkenalkan Pajak Gadai Islam Ar-Rahn," ujarnya.

Tambahnya, sistem yang dipelopori Kerajaan PAS ini berkebajikan berbanding pajak gadai berkonsepkan 'bunga' dan lesap barang gadaian yang diamalkan sebelum ini atau masih diamalkan negeri-negeri lain.

"Antara skim-skim yang dilaksanakan di bawah pemerintahan PAS sejak 17 tahun yang lalu adalah Skim Armalah dan Anak Yatim, Skim Kesihatan Sakit Kronik, Skim bantuan Orang Kurang Upaya, Skim Takaful Armalah, Skim Kifaalah, Skim Ladang Rakyat dan Bantuan Segera Bencana,"jelasnya.

Kesemua skim tersebut katanya, adalah meliputi golongan warga emas, orang kurang upaya, balu, anak yatim, pesakit kronik dan orang kurang upaya.

Bahkan tambahnya, Kelantan akan melancarkan Skim Rumah Rakyat bermula 2008 yang memberikan rumah secara percuma untuk golongan armalah, miskin dan orang tua manakala diskaun akan diberikan untuk mereka yang pendapatan rendah dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM15 juta setahun.

"Dengan hasil yang begitu besar sekalipun, Kerajaan BN mengenakan pelbagai caj untuk perkhidmatan kesihatan seperti ubatan, rawatan bersalin atau pembedahan yang dulunya percuma atau dikenakan bayaran minimum. Tol dan tarif eletrik dinaikan. Bayaran persekolahan tetap membebankan dan kos hidup meningkat kerana kenaikan harga minyak hasil falsafah BN, 'tak naik harga minyak, Kerajaan BN bangkrap'," katanya menempelak pemerintahan ala 'profit sharing' di bawah BN sekarang.

Jelasnya, dengan 'track record' tersebut PAS yakin dapat membawakan konsep Negara Berkebajikan di peringkat nasional sekiranya rakyat jelata memberi peluang kepada PAS untuk memimpin Malaysia

Sementara itu, mengulas isu yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dato' Takiyuddin Hasan berkata sekiranya Umno hanya menjadikan isu harga 'parking' kereta tersebut bagi menafikan Kelantan sebagai sebuah negeri kebajikan, maka ia menunjukkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu ketandusan isu.

"Jika mahu menentukan sesebuah negeri tersebut layak dinobatkan sebagai negeri kebajikan, maka ia perlulah dilihat daripada seluruh aspek kehidupan. Bukan hanya berdasarkan harga tempat letak kereta, ini penilaian yang sangat dangkal," katanya.

Hal tersebut ujarnya, adalah kerana jika dikatakan harga 'parking' kereta di Kelantan merupakan yang tertinggi di negara ini, dengan membuat perbandingan dengan Kota Bharu dengan Petaling Jaya, maka harga barangan yang lain juga perlu dibuat perbandingan antara kedua bandar tersebut.

"Apa yang jelas, kos sara hidup di Kelantan lebih rendah dengan harga barang yang lebih murah berbanding negeri-negeri lain di bawah pentadbiran kerajaan Umno-BN," katanya lagi.

Bahkan jelasnya, Kelantan kurang terjejas dengan kesan kemelesetan ekonomi yang melanda negara mengakibatkan kenaikan banyak harga barang sekaligus menaikkan kos sara hidup.

"Daripada aspek kadar harga yang lain seperti barang-barang, makanan, perkhidmatan, dan kos sara hidup jauh lebih rendah daripada negeri lain. Rakyat Kelantan juga tidak terasa kesan kemelesetan ekonomi semasa seluruh negara sedang gawat," ujarnya.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Bachok, Wan Nik Wan Yussof menekankan bahawa isu bayaran harga tempat letak kereta tidak sebesar isu kenaikan harga minyak.

"Isu tempat letak kereta tidak besar berbanding isu harga minyak. Harga minyak adalah berdasarkan hasil negara berpandukan pasaran terbuka, 'parking' kereta hanya bayaran perkhidmatan dan utiliti bandaran," katanya.

Jelasnya, jika kos bahagian perkhidmatan tinggi ia mempunyai perkaitan kos pekerja dan penyelenggaraan. Manakala harga minyak atau gas yang mahal pula berkait rapat dengan pengeluaran dan permintaan yakni manipulasi di pasaran.

Sementara itu, definisi negara kebajikan perlu dilihat daripada aspek yang lebih luas, serta bukan daripada sudut pembangunan fizikal semata-mata.

BN tidak mampu laksanakan dia negeri-negeri lain

Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah menjelaskan bahawa dalam keadaan Kelantan yang disekat peruntukan oleh kerajaan Pusat, negeri tersebut masih boleh menjaga kepentingan rakyatnya.

Malah pada masa yang sama, kerajaan Kelantan lebih banyak melaksanakan skim dan pelbagai cara untuk meringankan bebanan yang ditanggung rakyat.

"Dengan batasan dan kemampuan yang ada, kerajaan PAS berjaya memperkenalkan Takaful Kifalah dan Takaful Armalah untuk membela warga emas dan ibu tunggal yang Umno-BN pun tidak mampu untuk melaksanakannya di negeri-negeri lain," katanya.

Ahmad Baihaqi juga menempelak kenyataan Annuar Musa yang cuba mengalihkan isu sebenar yang berlaku di negeri tersebut dengan mengenengahkan isu negeri kebajikan ini.

Pendapat yang sama turut disuarakan oleh Ahli Perlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataannya yang dihantar kepada Harakah.

Ujarnya, dasar-dasar PAS bukan sahaja dinikmati oleh rakyat Kelantan, bahkan ia ditiru kerajaan BN.

"Isu yang ditimbulkan oleh Anuar Musa tentang bayaran tempat letak kereta adalah tidak relevan kerana di seluruh negara kerajaan tempatan mengenakan bayaran.

"Di Selangor, kebanyakan PBT mengenakan caj RM0.50 sejam, manakala tempat letak kereta swasta mencecah sehingga RM3 sejam. Adakah Annuar Musa cuba menafikan tentang bayaran yang dikenakan oleh PBT di negeri yang dikuasai BN?

Tambahnya, di negeri-negeri selain Kelantan, penggunaan kenderaan bukan sahaja terpaksa membayar tempat letak kereta, malah terpaksa membayar tol yang tinggi dan juga petrol yang mahal.

"Cukai-cukai yang dikenakan di Kelantan juga jauh lebih murah berbanding negeri yang diperintah oleh BN. Bahkan kakitangan kerajaan negeri tidak dikenakan caj untuk pinjaman, di samping pengharaman riba dalam sistem kewangan melalui perbankan Islam dan ar-Rahn.

Bukankah bank-bank konvensional terpaksa mewujudkan sistem perbankan tanpa faedah apabila Kelantan tidak membenarkan mereka menyewa premis di negeri itu?

Salahuddin yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS meminta Annuar Musa mengimbas kembali bagaimana wang Projek Perumahan Rakyat Termiskin yang hilang sebanyak RM40 juta.

"Jika wang rakyat termiskin pun boleh dicuri ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar, maka tidak mustahil wang orang kaya juga dicuri jika Umno memerintah Kelantan. Ini tidak termasuk wang yang diselewengkan di Risda dan Amanah Ikhtiar Malaysia," ujarnya. - mks.

Oleh Intan Abdullah
Kuala Lumpur | Wed | Jan 23, 08 | 6:35:00 (Malaysia Time)

No comments: