Friday, 15 February 2008

Abdullah dan dongeng-dongeng dari Davos

Bagi segelintir rakyat Malaysia, sebut sahaja Davos, sebuah daerah terletak di timur Switzerland, Forum Ekonomi Dunia segera bermain di ruangan minda. Namun bagi kebanyakan anggota masyarakat luar bandar dan rakyat marhaen Malaysia yang ada di antaranya masih bersarapan ubi kayu dan teh bujang, atau bagi segolongan penduduk Sabah dan Sarawak yang masih mandi di sungai berlumpur dan berbuaya, Davos tidak membawa sebarang makna.

Namun di sinilah setiap setahun sekali (sejak 1971), para pemimpin dan tokoh tertentu pelbagai bidang dari seluruh dunia datang berkumpul bagi membincangkan agenda bersangkutan ekonomi dunia. Apa sahaja boleh menjadi tajuk perbincangan - dari ketandusan bumi Burkina Faso (sebelum 1984 dikenali sebagai Repubik Upper Volta) yang mengakibatkan kebuluran dan pelbagai gejala sosial (penjualan bayi dan kanak-kanak, amalan mencacatkan kemaluan wanita), sehinggalah kepada perdebatan takrif masyarakat awam global.

Para pemimpin politik dan industri dunia, malah dari negara termiskin sekalipun akan mengenakan pakaian designer termahal bagi menyesuaikan diri dengan majlis dan persekitaran. Mereka bukannya berada di sembarangan tempat tetapi di Switzerland, negara ke-7 terkaya di dunia (Malaysia di tangga ke-67, perangkaan International Monetary Fund, 2006).

Sementara ramai warga dunia yang tak tahu atau tak pernah mendengar nama Davos, tapi ramai yang tahu tentang Switzerland. Bank Swiss dikaitkan dengan pendepositan wang peribadi dalam skala yang terkeluar daripada liga kebanyakan hartawan tak kira di Malaysia atau di mana-manapun, ia juga adalah rumah kepada jenam Vacheron Constantin, jam tangan termahal di dunia (model Tour de l’lle dijual pada harga AS$1.5 juta). Jika anda kontraktor kerajaan dengan nilai perolehan projek dalam kiraan bilion ringgit, mungkin anda mahu memiliki sebuah Rolex Oyster Perpetual Date diperbuat daripada emas putih dengan harga AS$24,000. Tapi kalau anda hanyalah seorang Ahli Parlimen dari negara membangun yang mahu mula berjinak-jinak dengan dunia kemewahan, anda mungkin hanya mampu sebuah jam Rolex yang diperbuat dari keluli tahan karat yang berharga AS$4,000.

Davos, begitupun tidak begitu dikenali di dunia Timur. Namun bagi dunia Barat, Davos membawa kisah pelbagai harapan. Pengarang novel klasik Inggeris, Treasure Island, Robert Louis Stevenson yang menghidap batuk kering menghabiskan musim sejuknya di Davos pada 1880. Arthur Conan Doyle, pencipta watak penyiasat Sherlock Holmes pernah menulis tentang sukan luncur salji di Davos pada 1889.

Akhir Januari 2008 lalu, Davos kembali menjadi pusat yang melahirkan kisah-kisah berunsur harapan kepada 6.5 bilion penduduk planet Bumi apabila pemimpin dunia tiba di sini untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia. Ada yang datang dengan menaiki penerbangan komersil, dari ibu negara masing-masing dan mendarat di Zurich, Bern atau Geneva. Ada yang datang menerusi penerbangan sambungan kerana negara mereka tidak mempunyai perkhidmatan terus ke mana-mana destinasi di Switzerland. Dan terdapat juga sejumlah kecil yang tiba di negara itu dengan jet rasmi kerajaan, termasuk jet rasmi yang baru dibeli.

Apalah sangat dengan jet rasmi kerajaan sesebuah negara membangun. Ia bukanlah seperti Air Force One, jet rasmi Presiden Amerika Syarikat, sebuah pesawat Boeing 747-200B dengan ubahsuaian ratusan juta dolar Amerika. Mungkin ada jet rasmi kerajaan sebuah negara membangun yang bernilai cuma RM200 juta sahaja. Bukanlah mahal sangat. Kalau memang sudah sedia ada jet rasmi, tapi telah digunakan oleh pemimpin lalu, tak mengapa. Beli sahaja yang baru. Lagipun di Davos inilah masa terbaik untuk memberitahu dunia, 'Hey I'm the best leader of my country. That's the reason I am now the Prime Minister. I have all the 'angs – excellence, glory and distinction. No 'temberang', you know. This new government jet is nothing-lah compared to the mega projects worth by the billions I have announced for my people."

Memanglah menggunakan perkhidmatan penerbangan komersil lebih menjimatkan. Apa yang perlu dibayar adalah harga tiket (kelas pertama) yang telah diambil kira surcaj bahan api. Tapi bila jet rasmi digunakan kos bahan api yang dibayar daripada kumpulan wang kerajaan tidak setimpal dengan muatan yang diterbangkan. Cuma kelebihannya adalah bagi penumpang utama yang kuat tidur. Maka tidurnya tentulah lebih selesa jika dibandingkan dengan penerbangan komersil walaupun dalam kabin kelas pertama. Tentang mimpi, tak perlulah disebutkan. Segala-galanya lebih besar dan lebih mega dari mendiang Dr Martin Luther King Jr.

Bagi Malaysia pula, kita menghantar pemimpin dan rombongan ke Forum Ekonomi Dunia di Davos agar rakyat diberitahu tentang dua tiga orang pemimpin korporat antarabangsa yang memuji-muji ekonomi Malaysia dan kemudiannya pemimpin kita pulang ke Kuala Lumpur langsung memberi tahu rakyat kecekapan kerajaan Malaysia kini berada pada tempat ke-6 terbaik di dunia.

Kita sendiri kurang jelas bagaimana angka ke-6 yang turut dilaporkan akhbar arus perdana negara ini diperolehi sedangkan Buku Tahunan The Global Competitiveness Report 2007-2008 (sebuah penerbitan Forum Ekonomi Dunia) meletakkan butiran mengenai kecekapan kerajaan Malaysia ini sebagai berada di tempat ke-7.

Laporan yang menyebut Malaysia berada pada kedudukan keseluruhan ke-21 di dunia dari segi persaingan global itu turut memuji Malaysia walaupun rasuah juga pada kedudukan ke-21, tahap dan piawian audit di tangga ke-25, pemilikan telefon rakyat di tangga ke-69 (Box 5: Malaysia: A competitiveness appraisal 50 years after independence, The Global Competitiveness Report 2007-2008).

Mungkin kerajaan Malaysia mendapat pengkadaran yang begitu tinggi sehingga mengatasi UK, Jerman, Jepun dan Perancis kerana kita cuma mengambil masa paling lama dua minggu untuk melangsaikan pembayaran kepada kontraktor bekalan, perkhidmatan dan pembinaan. Ini diakui sendiri oleh Abdullah, "Pada tahun lalu, kebanyakan bil bayaran kerajaan kepada pembekal barangan dan perkhidmatan berjaya dibayar dalam tempoh 14 hari. Daripada jumlah ini, 70 peratus daripada bayaran tersebut dilunaskan dalam tempoh tujuh hari. Pencapaian ini jelas menunjukkan tahap kemampuan sektor awam. (Utusan Malaysia: Kita ke-6 terbaik dunia - Kecekapan kerajaan atasi UK, Jerman, Jepun, Perancis, 29 Jan 2008.)

Nampaknya kita memang 'terror' giler jika dibandingkan dengan negara-negara maju. Kita sudah ada sistem sendiri yang lebih terkini dan lebih mampu menyemak segala baucer pembayaran dan segala dokumen sokongan yang dikemukakan dalam masa yang begitu pantas dan teliti. Agaknya sebab itu ada baucer bayaran projek mega yang hampir menyentuh RM1 bilion yang hilang daripada simpanan. Dan Laporan Ketua Audit Negara bagi kerajaan Persekutan dan Negeri pula tebal-tebal belaka dan mendedahkan pelbagai kesilapan pengurusan kewangan kerajaan termasuk lain-lain pengurusan seperti pemanggilan tender dan sebagainya. Itu baru, tahap penguditan, kita sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Global Competitiveness berada dikedudukan ke-25. Bagaimana kalau tahap penguditan juga di tempat ke-6? Mungkin agaknya Laporan KON akan menjadi empat kali lebih tebal.

Namun sudah tentulah Forum Ekonomi Dunia tidak akan memikirkan atau mengambil kira bagaimanakah cara kerajaan Malaysia memilih kontraktor untuk kerja-kerja yang bernilai ratusan juta atau beberapa bilion ringgit. Forum juga tidak mahu mengambil tahu berapa lamakan masa yang diambil bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam, seperti banjir misalnya. Tujuh hari? 14 hari? Beberapa bulan?

Tapi bagi tenaga yang berada di sebalik laporan ini, walaupun dipimpin oleh seorang Profesor Harvard (Prof Michael E Porter, Harvard Business School), tentulah agak mustahil untuk memikirkan hal-hal lain mengenai prestasi kerajaan selain maklumat penting seperti berapa lama bayaran dapat dilangsaikan.

Bukan mudah untuk menyediakan laporan mengenai 131 buah negara yang menjadi ahli Forum Ekonomi Dunia dalam masa yang begitu singkat. Dan lebih sukar lagi memuji negara-negara terbabit walaupun keadaan sesebuah negara itu berada pada peringkat paling teruk. Tapi ia perlu dilakukan kerana kalau sesuatu laporan itu terlalu negatif, negara berkenaan mungkin tidak lagi menyertai Forum tersebut dan ini akan mengurangkan pendapatan yang boleh diterima oleh badan penganjur (sejak tahun 2002 Forum Ekonomi Dunia mengenakan yuran asas penyertaan sebanyak AS$250,000 setahun bagi setiap badan perniagaan dan juga kerajaan yang mahu menyertai Mesyuarat Tahunannya).

Begitupun anehnya, sekembalinya dari Davos, Abdullah cuma ghairah tentang beberapa perkara sahaja. Bagaimana pula dengan perkara-perkara lain mengenai Malaysia yang turut disentuh dalam Laporan tersebut? Kenapa tak komen sama? Sebab ia telah membuktikan betapa tidak efisyennya Umno-BN dalam mentadbir karya.

Tidak seperti Forum Ekonomi Dunia sebelum 2004 di mana Malaysia di wakili oleh Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu, adalah mudah untuk mencari gambar pemimpin Malaysia dalam browser popular Internet. Ini menunjukkan ketokohan Dr Mahathir begitu terbukti sehingga dunia mengenali dan dalam kes tertentu menghormati Malaysia. Berbanding dengan Forum Ekonomi Dunia yang baru berakhir di Davos, Switzerland akhir Januari lalu, gambar Bono, penyanyi utama kumpulan rock U2 dan gambar pelakon British Emma Thompson yang turut sama hadir dalam Forum berkenaan nampaknya lebih banyak berbanding dengan gambar Perdana Menteri Malaysia yang disiarkan oleh agensi berita Reuters menerusi Yahoo.

Pada zaman Dr Mahathir, Malaysia dikatakan lebih dihormati dunia kerana bukan sahaja beliau memiliki daya keintelektualan dan buah fikiran yang turut menyumbang kepada penyelesaian masalah ekonomi dunia tetapi setidak-tidaknya Malaysia kelihatan menempa pelbagai kemajuan yang bersifat fizikal.

Walaupun beliau tidak membawa idea besar seperti Islam Hadhari tetapi apa juga pandangannya mengenai isu berkaitan dunia Islam terus mendapat perhatian. Sebaliknya idea Islam Hadhari yang cuba dipromosikan oleh Abdullah tidak begitu diterima, termasuk oleh negara-negara Islam sendiri.

Hari ini dunia tidaklah lagi memandang tinggi kepada Malaysia sebagaimana mereka melihat negara kita pada zaman Dr Mahathir. Oleh itu, Abdullah tidak perlu terlalu ghairah dengan kedudukan atau ranking kecekapan kerajaan Malaysia dalam membayar bil-bilnya. Abdullah sepatutnya turut juga menceritakan perkara lain yang dilaporkan oleh indeks tersebut.

Bagaimana pula dengan pelbagai peraturan kerajaan yang membebankan rakyat dan juga para pelabur asing dan tempatan. Malaysia berada di tempat ke-5. Nampaknya Malaysia antara paling terkemuka dalam soal beban yang wujud kerana peraturan kerajaan ini.

Kita juga sepatutnya diberitahu bahawa dari segi pembaziran wang kerajaan kita juga turut berada di tangga ke-6, iaitu antara 10 tempat teratas dalam senarai 131 buah negara. Interpretasinya mudah sahaja. Umno-BN yang memerintah selama ini tidak mampu menguruskan dana awam dengan efisien dan optimum. Dan ini begitu ketara menerusi pelbagai projek yang melebihi dari kos asal, projek yang tidak diperlukan dan sebagainya.

Abdullah banyak bercakap tentang ketelusan. Sepatutnya dari segi ketulusan ini juga berada di tangga yang teratas dan kalau menurut apa yang dihebohkan oleh Umno-BN kita patut mempunyai ranking di antara 10 teratas. Namun ranking kita dari segi ketelusan ini cuma ke-16 sahaja.

Bagaimana pula dengan efisyensi kerangka undang-undang kita dari segi melincinkan pentadbiran awam. Global Competitiveness Index (GCI) meletakkan kita pada ranking ke-18.

Bagaimana pula dengan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik yang berkuasa. GCI meletakkan Malaysia juga pada ranking ke-18 walaupun Abdullah dan pemimpin Umno-BN yang lain terus merasakan parti mereka mendapat keperyaan yang tinggi daripada keseluruhan rakyat. Sepatutnya kalau ikut apa yang dicanangkan oleh pemimpin Umno-BN, kepercayaan rakyat juga, setidak-tidaknya ada pada kedudukan ke-6.

Dari segi pembelian peralatan teknologi canggih, kita menduduki tempat ke-3. Tapi ini bukanlah sesuatu yang menghairankan sebab kerajaan memang suka membeli pelbagai perkhidmatan dan barangan yang canggih-canggih untuk kegunaan golongan tertentu. Cuma kalau alat itu digunakan untuk rakyat biasa, seperti helikopter pengangkutan anggota tentera misalnya, maka ia tak perlulah teknologi yang canggih sangat. Second hand pun memadai.

Keberkesanan perkhidmatan polis pula berada pada tangga ke-31. Kebebasan kehakiman, ke-30; pilih kasih pegawai kerajaan dalam membuat keputusan, ke-23; talian telefon, ke-69; hutang kerajaan, ke-69; inflasi, ke-54; prestasi bank, ke-43; pengawalan ke atas bursa saham, ke-33 dan banyak lagi yang kita tidak hebat seperti yang dicanangkan oleh Umno-BN.

Jika rakyat diberitahu semua ini, sudah tentu ini semua akan menjadi igauan buruk bagi Abdullah dan Umno-BN terutama menjelang PRU-ke-12. Petanda buruk semacam sudahpun berlaku di Davos apabila kereta pemimpin (tidak dinyatakan siapa) dari Malaysia tersekat di atas salji dan terpaksa ditolak oleh pemandu dan pegawai keselamatan. Mungkin Umno-BN tidak sanggup menghadapi petanda-petanda buruk seterusnya. Tidak mustahil inilah yang memberikan ilham kepada Abdullah untuk mengadakan PRU-ke-12.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Shirzad Lifeboat
Fri | Feb 15, 08 | 10:49:07 am (Malaysia Time)


Taken from HarakahDaily.net

No comments: