Wednesday, 20 February 2008

BN tolak negara berkebajikan untuk rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan kenyataan-kenyataan dangkal pemimpin BN yang cuba mengelirukan rakyat untuk menolak tawaran negara berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS. Sikap angkuh dan sombong pemimpin BN terhadap kebajikan rakyat ini membuktikan bahawa Umno/BN adalah parti yang lebih mementingkan kroni dan anak menantu mereka berbanding rakyat. PAS membuat tawaran yang begitu bermakna untuk kebajikan rakyat pada masa hadapan, tetapi Umno cuba memberikan gambaran yang salah dengan harapan rakyat dapat terus ditindas dan dianiya oleh mereka.

Antara dakwaan palsu pemimpin Umno/BN ialah negara akan bankrap jika mengamalkan konsep negara berkebajikan. Dakwaan ini amat tidak munasabah kerana tidak ada sebarang bukti mana-mana negara yang telah bankrap kerana memberikan kebajikan kepada rakyat. Satu bukti yang paling jelas ialah Kelantan yang memiliki sumber pendapatan yang sangat terhad pun tidak bankrap apabila mengamalkan prinsip berkebajikan untuk rakyat. Mustahil negara sekaya Malaysia akan bankrap, kecuali jika terus dipimpin oleh pemimpin BN yang terkenal boros, suka membazir, menyelewengan, mengamalkan rasuah, kronisme dan nepotisme. Negara yang telus, beramanah, adil dan bersih sudah tentu dapat menguruskan kepentingan awam dengan cekap seperti yang berlaku di Kelantan.

Negara berkebajikan juga tidak bermaksud akan menaikkan cukai dengan tinggi untuk menampung kos kebajikan rakyat. PAS tidak menyebut untuk menaikkan cukai, tetapi kita berjanji untuk menghapuskan cukai-cukai tertentu, menurunkan harga minyak dan menghapuskan tol, menyediakan pendidikan dan kesihatan percuma serta membela kepentingan golongan miskin dan kurang upaya. PAS tidak berhasrat untuk menaikkan cukai bagi membiayai semua kos ini, tetapi akan kita akan menggunakan wang yang 'diselamatkan' daripada pembaziran dan penyelewengan untuk menampung semua kos ini. Sebagai contoh, Kerajaan BN membazirkan RM5 bilion dengan projek sains dan metametik dalam bahasa Inggeris, serta RM4.5 bilion kerana menangguhkan projek landasan berkembar. Jika PAS memerintah, wang rakyat sejumlah RM10 bilion ini boleh menampung kos kesihatan dan pendidikan percuma. Jika kita bimbangkan kenaikan cukai, hari ini pun cukai yang dikenakan oleh Kerajaan BN cukup tinggi sama secara langsung atau tidak langsung.

PAS juga mengutuk dakwaan dangkal Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mendakwa negara akan mengalami defisit sehingga 12 peratus setahun kerana menjaga kebajikan rakyat. Dalam keadaan sekarang, kerajaan BN yang sememangnya menindas dan menganiyai rakyat ini pun mengalami defisit, kerana BN lebih menjaga kebajikan kroni berbanding kebajikan rakyat jelata. Maka kita melihat jika amalan kronisme dan projek untuk menantu dihapuskan, ia boleh menyelamatkan perbelanjaan Negara dan kebajikan rakyat tentunya terbela. Pada hari ini, berapa banyak wang rakyat mengalir ke poket menantu Perdana Menteri yang berkuasa dari padang bola hingga ke bursa saham, sedangkan jika ia ditadbir secara telus rakyat mendapat banyak manfaat. Kita tidak boleh berbangga jika belanjawaan kita tidak defisit, tetapi sebahagian besar KNK berada dalam poket menantu atau anak-anak pemimpin BN. Khairy tidak perlu bercakap untuk pihak rakyat, kerana rakyat sudah muak dengan amalan mencekik darah yang diamalkan oleh pihak yang berkuasa di Tingkat 4 JPM itu.

Secara mudah kita dapat memahami bahawa Umno/BN memang sekali-kali tidak berhasrat untuk menjaga kebajikan rakyat. Amat malang bagi rakyat Negara ini jika terus berpemimpin yang angkuh dan sombong seperti ini yang lebih mengutamakan kebajikan anak menantu dan kroni daripada kebajikan rakyat. Pemimpin Umno/BN sengaja cuba mengelirukan rakyat dengan dakwaan-dakwaan palsu supaya rakyat terus mengundi mereka. Jika mereka dapat terus berkuasa, maka senanglah hidup anak menantu dan kroni mereka melalui projek 'kebajikan kronisme dan nepotisme' BN, dan rakyat akan terus dibiarkan merempat serta ditindas dengan cukai, tol, inflasi, yuran sekolah, bayaran hospital yang tinggi. Yang penting pemimpin BN dan anak menantu mereka hidup mewah, jangan rakyat diberikan kebajikan. Itulah perjuangan sebenar Umno/BN!


19 Februari 2008,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
(Ketua Penerangan PAS Pusat merangkap Calon PAS di P008 Pokok Sena.)

3 comments:

Anonymous said...

nape rakyat kelantan bersepah kt kl?terlebih maju kot..n byk sgt kerajaan pas bantu rakyat kot smpai ramai rakyat kelantan lari carik rezeki kt negeri lain..

Anonymous said...

nape rakyat kelantan bersepah kt kl?terlebih maju kot..n byk sgt kerajaan pas bantu rakyat kot smpai ramai rakyat kelantan lari carik rezeki kt negeri lain..

BakaDasu said...

sinih pun bersepah gak org kelantan? terlebih maju kot malaysia sampai dtg germany belajar... x masuk uk lagik tuh, russia, prague, sweden, ireland, usa...
x tau laa beraper ramai, n semua stock2 yg x nk balik since malaysia dah maju sgt2, so baik kerja sinih, sebab sinih kurang skit maju dier compare dgn malaysia